WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DISKAUN TOL 50 PERATUS SEMPENA AIDILFITRI

26/03/2025 06:20 PM

MELAKA, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan mengumumkan potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta.

“Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus bermula 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat), dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu).

“Kita beri dua hari (diskaun) supaya pengguna tidak tergesa-gesa dan boleh merancang sebaiknya perjalanan mereka,” katanya. 

Beliau berkata pada sidang media selepas melakukan tinjauan kerja di sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Ayer Keroh di sini hari ini. 

Nanta berkata potongan tol 50 peratus itu khusus bagi kenderaan persendirian (Kelas 1) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). 

Beliau berkata pemberian diskaun tol itu adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023. 

“Ia adalah selaras dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Justeru semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna agar mengikut jadual waktu perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi serta menggunakan pautan paparan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan