WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GAMUDA RAIH NILAI PEROLEHAN KONTRAK TERTINGGI RM36 BILION, REKOD BAGI TAHUN KEEMPAT

26/03/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Gamuda Bhd berjaya mencatat nilai perolehan kontrak pembinaan tertinggi mencecah RM36 bilion bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2025 (S2 TK2025) yang juga rekod bagi tahun keempat berturut-turut.

Bagi tempoh sama, perolehan hasil pembinaan menokok 19 peratus kepada RM4 bilion manakala pendapatan meningkat lima peratus kepada RM219 juta susulan sumbangan kukuh daripada bahagian pembinaan domestiknya.

Selain itu, pertumbuhan hasil dan pendapatan kumpulan disokong oleh pengembangan nilai perolehan kontrak domestik daripada RM7 bilion kepada RM14 bilion dalam tempoh enam bulan lepas atau 40 peratus daripada nilai kontrak pembinaan.

“Segmen di peringkat domestik dijangka terus tumbuh pada bulan depan menerusi pemeteraian beberapa kontrak besar yang meningkatkan lagi pertumbuhan margin dan pendapatan masa depan bahagian pembinaan," kata Gamuda dalam kenyataannya.  

Pada masa sama, segmen pembinaannya mencatatkan peningkat perolehan hasil sebanyak 22 peratus dan pendapatan yang menokok 13 peratus manakala segmen hartanah melonjak 56 peratus dalam jualan suku tahunan kepada RM1.1 bilion berbanding RM719 juta pada suku sebelumnya.

Perkembangan itu, kata Gamuda, didorong oleh jualan yang lebih kukuh daripada projek terutamanya Eaton Park di Vietnam.

Perolehan hasil Gamuda meningkat sebanyak 32 peratus kepada RM8.2 bilion manakala keuntungan bersih meningkat lima peratus kepada RM424 juta bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

“Dalam separuh pertama TK2025, Gamuda mencatat portfolio projek baharu tahunan tertinggi berjumlah RM14.5 bilion merangkumi enam anugerah projek penting, termasuk tiga usaha niaga antarabangsa iaitu Ladang Angin Boulder Creek dan Ladang Solar Sungai Goulburn di Australia selain Transit Aliran Massa Xizhi Donghu di Taiwan.

“Selain itu, tiga projek domestik pula adalah projek Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah, transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang - Laluan Mutiara Fasa 1 dan Pusat Data Cyberjaya.

“Ini memaparkan keupayaan infrastruktur serantau kumpulan yang kukuh bagi menampung sasaran nilai perolehan kontrak sebanyak RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir 2025," kata Gamuda.

Jualan hartanah belum direkod atau dibayar penuh pula mencecah RM7.2 bilion yang turut menyokong daya tahan kumpulan itu.

Gamuda juga terus mengekalkan lembaran imbangan yang positif dengan nisbah hutang bersih yang selesa sebanyak 39 peratus dan di bawah had hutang ditetapkan syarikat sebanyak 70 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan