WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES PENIPUAN LIBAT CIP AI NVIDIA DALAM SIASATAN, MITI TERUSKAN KERJASAMA DENGAN PASUKAN PENYIASAT

26/03/2025 06:42 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata isu berkaitan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan yang didakwa melibatkan Malaysia masih dalam siasatan.

Menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pihak kementerian memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

"Kita memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasatan yang terdiri daripada MITI bersama-sama dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya kepada pemberita di luar acara Program Iftar Kasih Ukhwah hari ini.

Beliau berkata segala perkembangan terkini berhubung kes tersebut akan dimaklumkan kepada media.

Pada 3 Mac, MITI menerusi satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat dakwaan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan dialihkan dari Singapura ke Malaysia.

Langkah itu diambil susulan laporan media yang memetik Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam sebagai berkata pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di negara itu mungkin mengandungi cip AI Nvidia, yang kemudiannya dipindahkan ke Malaysia.

Dilaporkan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan didakwa dipindahkan ke Malaysia dari Singapura.

Menurut laporan berita dari Singapura, cip tersebut didakwa dibenam dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dipindahkan ke Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan