WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM SUMBANG BANTUAN AIDILFITRI KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN DI PADANG RENGAS

26/03/2025 09:00 AM

PADANG RENGAS, 26 Mac (Bernama) -- Seramai 1,000 penduduk dalam kawasan Parlimen Padang Rengas yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM200,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri, semalam.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pemberian sumbangan itu melibatkan penerima dari 45 kampung, selain diselaraskan oleh pejabat penghulu setiap mukim yang terdapat di dalam kawasan Parlimen berkenaan.

Beliau berkata sumbangan itu membuktikan keprihatinan kerajaan menyantuni golongan kurang berkemampuan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Peruntukan ini disalurkan secara terus melalui Pejabat Perdana Menteri kepada golongan memerlukan seperti asnaf, miskin tegar dan orang kurang upaya (OKU).

“Mudah-mudahan pemberian sumbangan khas ini memberi kelegaan dan menghadirkan senyuman kepada semua penerima yang layak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri di Arena Square Masjid Al-Hadhari di sini, malam tadi.

Sementara itu seorang penerima Muhammad Amirul Syekal Mohd Puzi, 28, berkata dia bersyukur kerana bantuan itu dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan perubatan yang perlu ditanggung selepas lumpuh separuh badan (pinggang ke kaki) akibat kemalangan jalan raya 11 tahun lepas.

“Setiap bulan saya perlu membelanjakan kira-kira RM300 bagi pembelian lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan untuk keperluan harian.

“Bagi saya pemberian sumbangan ini amat bermakna kepada saya kerana ia dapat mengurangkan separuh daripada perbelanjaan perubatan untuk bulan ini,” katanya yang turut menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Seorang lagi penerima Sufiah Osman, 52, berkata ini kali pertama dia terpilih menerima sumbangan berkenaan dan ia akan digunakan sepenuhnya dalam menyediakan kelengkapan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Saya rasa amat gembira sebab bukan hanya diraikan dalam majlis berbuka puasa malah dapat duit raya lagi. Duit ini akan saya gunakan untuk keperluan keluarga untuk Aidilfitri ini.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Perdana Menteri atas sumbangan yang diberikan kepada kami selaku penerima dalam Parlimen ini,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan