WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SERANGAN RANSOMWARE KE ATAS MAHB PERLIHAT KEPERLUAN MILIKI PERTAHANAN SIBER KUKUH - PAKAR

26/03/2025 06:11 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng & Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Serangan perisian tebusan atau “ransomware” terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan signifikan dalam kalangan pakar keselamatan siber mengenai daya tahan infrastruktur kritikal negara terhadap ancaman siber.

Profesor Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini dari Universiti Teknologi MARA berkata walaupun laporan awal menunjukkan MAHB berjaya mengawal serangan berkenaan, kejadian seperti ini memberi peringatan penting kepada semua sektor kritikal supaya memperkukuh langkah-langkah keselamatan siber dalam berhadapan dengan ancaman yang semakin canggih dan berkembang.

“Serangan ini membuktikan bahawa infrastruktur kritikal negara adalah sasaran utama bagi penjenayah siber.

“Walaupun MAHB dapat mengawal situasi ini, ancaman siber tetap menjadi risiko berterusan, yang boleh menyerang pada bila-bila masa dan menyasarkan mana-mana organisasi,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem digital MAHB diserang baru-baru ini oleh penggodam yang menuntut bayaran tebusan sebanyak USD10 juta.

Media melaporkan serangan siber berkenaan menyebabkan gangguan lebih daripada 10 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Mac, yang menyebabkan sistem paparan maklumat penerbangan lapangan terbang, kaunter daftar masuk dan pengurusan bagasi tidak berfungsi, memaksa syarikat penerbangan dan kakitangan lapangan terbang beralih kepada operasi manual.

Mengulas lanjut, Muhamad Khairulnizam berkata serangan seperti ini perlu dihalang dengan apa jua kos kerana ia boleh memberi kesan yang serius dari segi operasi, kewangan dan reputasi terutamanya apabila menyasarkan infrastruktur kritikal seperti lapangan terbang.

Beliau menegaskan bahawa serangan “ransomware” boleh mengganggu jadual penerbangan, mencampuri sistem tempahan tiket dan menimbulkan risiko keselamatan yang besar jika data sensitif penumpang terjejas, memandangkan lapangan terbang moden sangat bergantung kepada sistem digital untuk operasi mereka.

Muhamad Khairulnizam mengesyorkan pelaburan dalam teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengesanan ancaman masa nyata. Beliau juga menekankan kepentingan menjalankan audit keselamatan secara berkala dan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan pekerja.

Beliau berkata kelemahan keselamatan siber sering timbul daripada kesilapan manusia, oleh itu pendidikan berterusan dan kesedaran yang lebih tinggi adalah penting untuk memastikan semua orang memahami bagaimana serangan siber boleh berlaku dan bagaimana untuk mencegahnya.

Seiring dengan itu, Dekan Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Kolej Universiti Penerbangan Malaysia Dr Norulbaiti Mohd Nor berkata industri penerbangan Malaysia perlu mengambil pendekatan proaktif untuk mencegah ancaman keselamatan siber dengan memfokuskan elemen proses dan adaptasi teknologi.

Beliau berkata elemen proses melibatkan tadbir urus dan protokol yang perlu dikemas kini secara berterusan untuk menyesuaikan diri dengan ancaman siber yang berkembang.

“Bagi teknologi pula, kita perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan infrastruktur IT yang berdaya tahan seperti teknologi blockchain untuk meningkatkan keselamatan bagi melawan ancaman siber dan mengelakkan ia berulang,” katanya.

Norulbaiti berkata syarikat penerbangan terkenal seperti Emirates telah mula melaksanakan teknologi blockchain ini, manakala Singapore Airlines masih belum sepenuhnya mengintegrasikan teknologi ini dalam operasi mereka, kemungkinan disebabkan kerumitan teknikal dalam mengembangkan penyelesaian blockchain melampaui program kesetiaan, serta keperluan untuk penyepaduan yang telti dengan sistem legasi sedia ada dan pertimbangan peraturan.

“Serangan siber di KLIA telah memberi kesan kepada proses operasi dan akan memberi impak terutamanya kepada orang awam. Serangan siber yang kerap boleh merosakkan persepsi awam dan kepercayaan terhadap keselamatan penerbangan. Orang ramai akan berasa tidak selamat dan kecewa,” katanya.

Membandingkan ancaman yang tidak kelihatan ini dengan pandemik, Norulbaiti menekankan keperluan untuk penambahbaikan peraturan terutama dalam undang-undang perlindungan data dan keselamatan siber yang melibatkan industri penerbangan.

Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa dan organisasi yang berkaitan untuk mula mengambil langkah proaktif bagi mengukuhkan langkah-langkah keselamatan siber.

Beliau juga menekankan bahawa serangan siber merupakan ancaman yang sedang berkembang terhadap keselamatan penerbangan, yang berbeza daripada kebimbangan tradisional seperti keganasan atau serangan fizikal.

“Tanpa tindakan yang tepat pada masanya, kejadian seperti ini mungkin akan terus berlaku, berpotensi mengganggu infrastruktur kritikal dan merosakkan kepercayaan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata CAAM bekerjasama rapat dengan MAHB, memberikan bantuan dengan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) mereka, seperti pengagihan pintu perlepasan dan ketibaan pepesawat.

“Pada masa yang sama, kami juga bekerjasama rapat untuk memastikan tiada serangan pada masa depan dan seni bina sistem kami kukuh serta selamat untuk menahan serangan siber akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan