IPOH, 29 Mac (Bernama) -- Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan antara kerajaan negeri dan AirAsia dalam masa terdekat bagi membincangkan laluan penerbangan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata keputusan itu dicapai selepas pertemuan antara kedua-dua pihak berhubung penggantungan laluan Ipoh-Singapura pada 27 Mac lepas di Kuala Lumpur.
“Kita akan lihat beberapa potensi (laluan) mungkin dari Ipoh ke selatan atau ke Pantai Timur. Ia lebih kepada domestik dan tak semestinya membabitkan laluan antarabangsa sahaja.
“Pentingnya jawatankuasa ini adalah kerana AirAsia mempunyai data penumpang dan perkara ini akan membantu kita melihat potensi laluan (penerbangan) yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas sesi lawatan ke Projek Menaik Taraf LTSAS di sini hari ini.
Pada 13 Mac, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan pihaknya terbuka mengadakan perbincangan dengan AirAsia susulan keputusan syarikat itu menggantung operasi laluan Ipoh-Singapura berkuat kuasa 25 April depan.
Sementara itu, Loh berkata penubuhan jawatankuasa itu dilihat mampu memberi impak positif dalam meningkatkan jumlah pelancong selain potensi LTSAS sebagai medium pengangkutan udara di negara ini.
“Dengan kerja-kerja menaik taraf fasiliti yang telah dilakukan di sini, saya fikir LTSAS bukan sahaja selesa malah mampu menampung kapasiti 500,000 penumpang setahun sepertimana yang disasarkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lebih 90 peratus kerja menaik taraf telah dilaksanakan membabitkan beberapa kemudahan sedia ada dengan peruntukan RM8 juta yang disalurkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Antara penambahbaikan yang dibuat adalah membabitkan ruangan menunggu, kaunter masuk, laluan Jabatan Imigresen (JIM) dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial