ISKANDAR PUTERI, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan Johor akan membangunkan sistem amaran bagi tujuan keselamatan penduduk dalam usaha mengatasi konflik manusia dan gajah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata sistem amaran itu akan berfungsi menerusi kolar satelit yang dipasang pada gajah.
Beliau berkata dianggarkan terdapat lima kumpulan gajah yang aktif meliputi 30 hingga 40 ekor bagi setiap kumpulan berada di daerah Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Labis di Segamat.
“Kami mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat untuk memasang kolar satelit pada gajah-gajah, yang membolehkan kita mendapat data pergerakan haiwan ini.
“...dengan ini kita dapat berkongsi maklumat menerusi sistem amaran awal kepada penduduk kampung agar berwaspada sekiranya terdapat gajah berdekatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Aset Perubatan dan Bukan Perubatan kepada tiga klinik kesihatan di sini hari ini.
Ling berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik manusia dan gajah di negeri berkenaan.
Beliau berkata usaha itu antara inisiatif jangka masa sederhana yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.
“Penyediaan bank makanan juga akan dilaksanakan di kawasan pinggir hutan dengan kerjasama pihak industri ladang sebagai langkah jangka masa panjang untuk mengatasi konflik berkenaan.
“Kami mengenal pasti 21 lokasi untuk bank makanan yang terletak di pinggir hutan, langkah ini dapat mengelakkan gajah daripada memasuki kawasan tanaman atau kebun-kebun orang,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan cadangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, langkah bagi mewujudkan bank makanan itu memerlukan keluasan kawasan sekurang-kurangnya satu hektar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial