SERDANG, 26 Mac (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menggunakan 28 unit dron berteknologi tinggi bagi membantu penugasan dalam Op Prihatin Siri 2 yang bermula esok hingga 6 April ini.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata sebanyak dua unit dron akan ditempatkan di setiap negeri bagi membolehkan pemantauan trafik dilakukan dengan lebih cekap dan berkesan.
"Teknologi ini membantu APM dalam mengawasi keadaan lalu lintas, mengenal pasti lokasi kemalangan atau kecemasan dengan lebih pantas seperti tanah runtuh dan jalan rosak serta menyelaras bantuan dengan lebih efisien.
"Selain itu, dron juga berperanan dalam rondaan keselamatan khususnya di kawasan berisiko tinggi yang sukar diakses oleh pasukan bertugas," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin Siri 2 sempena Aidilfitri 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata Op Prihatin siri kedua yang dilancarkan serentak hari ini di enam zon iaitu Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak membabitkan penugasan sebanyak 2,364 pegawai dan anggota.
Selain itu, Aminurrahim berkata 15,000 anggota dan pegawai sukarelawan APM menerusi inisiatif SIGAP bersedia membantu dalam Op Prihatin sempena Aidilfitri ini.
Beliau berkata insiatif itu memberi peluang kepada sukarelawan yang kompeten untuk memberikan perkhidmatan terutama membabitkan pengurangan risiko atau ancaman secara sementara dan berdasarkan keperluan semasa.
"Contohnya apabila berlaku kecemasan seperti luka kecil, mereka ini dapat membantu memberikan rawatan atau respons awal sebelum bantuan daripada pihak yang berkaitan," katanya.
Selain itu, beberapa anggota APM juga akan ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi memberikan latihan kecemasan dan penggunaan alat pemadam api kepada orang ramai.
Penugasan APM sempena Op Prihatin meliputi khidmat kemanusiaan seperti kes pokok tumbang, kemalangan jalan raya, rondaan di lokasi tumpuan dan ilmu pertahanan awam kepada komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial