BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAPA DUA BERADIK MELECUR MAIN MERCUN DITAHAN BANTU SIASATAN

27/03/2025 03:48 PM

JITRA, 27 Mac (Bernama) -- Bapa kepada dua beradik yang cedera dan melecur pada badan termasuk seorang parah akibat bermain mercun bola di Kampung Baru, Kuala Nerang pada 19 Mac lepas, telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada Isnin lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama setelah rakaman percakapannya diambil.

"Polis sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, cedera parah selepas semua jarinya hingga pergelangan tangan kiri hancur selain bawah pipi kanan terkoyak manakala adiknya Muhammad Aiman Naufal, 4, cedera dan melecur di bahagian badan.

Terdahulu, Fisol menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu antara ACP Mohd Redzuan Salleh dengan Supt Mohd Radzi Abdul Rahim yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fisol berkata sempena cuti Aidilfitri ini, jumlah kenderaan yang akan masuk ke Kedah dijangka bertambah berikutan hari cuti yang lama dan diharapkan pengguna jalan raya dapat mematuhi undang-undang bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

"Jumlah kemalangan dari 1 Jan hingga 25 Mac lepas sebanyak 6,174 kes dan ia merupakan penurunan sebanyak 343 kes kemalangan berbanding tempoh yang sama tahun lepas...jumlah kemalangan maut juga menunjukkan trend penurunan, jadi kita harap tidak berlaku peningkatan semasa musim perayaan ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan