KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar yang dicadangkan merupakan langkah penting dalam menangani bandar usang dan kekurangan perumahan serta menggalakkan pembangunan mampan.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun RUU tersebut yang dijangka dibentang di Parlimen, menawarkan banyak manfaat, ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan situasi 'menang-menang’ untuk semua pihak berkepentingan, termasuk pemaju dan masyarakat yang terkesan oleh pembangunan semula itu.
“RUU ini akan memudahkan pembangunan semula bangunan usang dan ruang yang kurang digunakan, mengubahnya menjadi komuniti moden, mampan dan boleh didiami. Ini akan meningkatkan kualiti hidup penduduk secara keseluruhan dan meningkatkan nilai estetik serta fungsi kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata projek pembaharuan semula bandar akan merangsang aktiviti ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pembinaan, seni bina, dan industri berkaitan manakala kawasan yang berwajah baharu dapat menarik peniaga serta pelabur bagi memacu ekonomi tempatan.
Beliau menambah RUU itu juga akan menaik taraf infrastruktur yang usang seperti pengangkutan, utiliti, dan kemudahan awam sekali gus memastikan bandar berkenaan lebih bersedia untuk memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat.
“Melalui pembangunan semula hartanah yang kurang digunakan atau terbiar, RUU ini dapat membantu menangani kekurangan perumahan, terutamanya di kawasan bandar yang berpenduduk padat menjadikan perumahan lebih mampu milik dan mudah diakses.
“Projek pembaharuan semula bandar boleh menggabungkan amalan pembinaan hijau, reka bentuk cekap tenaga, dan sistem pengurusan sisa lebih baik yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta daya tahan terhadap perubahan iklim," katanya.
Bagaimanapun, di sebalik pelbagai kelebihan itu, Lee mengingatkan bahawa RUU itu juga mempunyai beberapa cabaran, termasuk risiko pengusiran penduduk dan perniagaan kecil dalam jangka masa panjang, terutama bagi komuniti berpendapatan rendah.
“Ini boleh menyebabkan perpecahan sosial dan kehilangan indentiti komuniti.
“Projek pembaharuan semula bandar selalunya memerlukan pelaburan awal yang besar dan terdapat risiko kos yang boleh meningkat melebihi anggaran awal. Ini boleh membebankan kewangan kerajaan dan pemaju swasta,” katanya.
Lee memberi amaran walaupun pembaharuan mampu menambah baik suasana kejiranan, ia juga boleh membawa kepada proses gentrifikasi, menjadikan perumahan tidak mampu milik bagi penduduk sedia ada dan membuatkan mereka terpaksa keluar daripada komuniti. Meruntuhkan bangunan dan kejiranan lama juga boleh menyebabkan kehilangan warisan budaya.
Bagi mengurangkan impak tersebut, beliau mencadangkan beberapa langkah untuk memastikan pembangunan adalah inklusif dan adil.
“Libatkan penduduk, perniagaan, dan organisasi komuniti dalam proses perancangan untuk memastikan keperluan serta kebimbangan mereka ditangani.
“Beri pampasan yang adil kepada mereka yang terpaksa dipindahkan disebabkan projek pembangunan semula dan tawarkan mereka bantuan pemindahan termasuk pilihan perumahan yang mampu milik serta bantuan untuk peniaga kecil,” katanya.
Lee juga menggesa agar pihak berkuasa mewajibkan pemaju memperuntukkan sejumlah rumah mampu milik dalam projek mereka dan melindungi bangunan serta kejiranan yang bersejarah.
Beliau turut mencadangkan kerjasama awam-swasta digalakkan bagi berkongsi kos dan kepakaran, melaksanakan projek secara berperingkat untuk mengurangkan risiko tergendala, serta perjanjian yang mengikat dirunding secara teliti untuk memastikan sumbangan kepada kemudahan komuniti seperti taman, sekolah dan pusat kesihatan.
“RUU Pembaharuan Semula Bandar berpotensi untuk mengubah wajah bandar kita menjadi kawasan yang lebih ceria, mampan dan inklusif. Bagaimanapun, kejayaannya bergantung kepada perancangan yang teliti, dasar yang adil, dan komitmen untuk menyeimbangkan kepentingan pemaju dengan keperluan komuniti yang terkesan,” katanya.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial