WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TFC KORBAN CUTI RAYA FOKUS PERLAWANAN MENENTANG SELANGOR FC

30/03/2025 12:47 PM

KUALA NERUS, 30 Mac (Bernama) -- Sehari sahaja cuti sempena Aidilfitri diberikan kepada pemain Terengganu FC (TFC) sebelum kembali menjalani latihan bagi menghadapi Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada 5 April ini.

Pengendali skuad Penyu, Badrul Afzan Razali berkata perlawanan dengan The Red Giants merupakan misi wajib menang bagi memperbaiki kedudukan mereka yang kini menghuni tangga kelima Liga Super dengan 32 mata.

"TFC berada di fasa kritikal. Kita telah dipintas Kuching City FC yang kini berada pada tempat ketiga liga dengan perbezaan empat mata.

"Rela atau tidak, pemain perlu korbankan cuti raya kali ini untuk buat persiapan pada perlawanan penting menentang Selangor di Shah Alam nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Badrul Afzan turut mengingatkan pada pemain untuk menjaga pemakanan dan kecergasan sepanjang cuti supaya prestasi mereka tidak terjejas, selain lebih fokus supaya tidak berlaku kesilapan mudah hingga mengundang kekalahan.

"Tewas bermakna peluang kita untuk menamatkan saingan di tangga keempat mungkin terkubur...begitu juga dengan Piala Shopee,”  katanya.

Sementara itu, Badrul Afzan berkata penyerang imporat Ivan Mamut berkemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan terakhir musim ini disebabkan masalah kecergasan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan