WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGANGKUTAN AWAM MOD PALING SELAMAT MUSIM PERAYAAN - PAKAR KESELAMATAN JALAN RAYA

30/03/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Dalam kesibukan rakyat Malaysia membuat persiapan akhir pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri, penggunaan pengangkutan awam terutama bas dan rel dilihat menjadi pilihan utama berikutan rekod keselamatannya yang jauh lebih baik berbanding kenderaan persendirian.

 Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata statistik menunjukkan penumpang bas merupakan kumpulan yang paling kurang menyumbang kepada angka kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

“Malaysia mencatat sebanyak 598,635 kes kemalangan jalan raya pada 2023, bersamaan satu kemalangan setiap 53 saat. Sebanyak 6,433 nyawa terkorban dengan purata 18 kematian sehari. Hal ini menjadi isu kesihatan komuniti yang serius,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kumpulan penumpang bas hanya menyumbang 0.44 peratus kepada jumlah kematian pada 2022, iaitu paling rendah berbanding kategori pengguna jalan raya lain.

“Selama lima dekad lepas, statistik ini kekal rendah iaitu di bawah satu peratus. Justeru itu, pengangkutan awam seperti bas dan rel terbukti sebagai mod pengangkutan paling selamat, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Kulanthayan berkata keselamatan pengangkutan awam perlu dipertingkat dan dipertahankan melalui kerjasama semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata pemilik dan pengendali bas perlu menerapkan budaya selamat dan memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik serta pemandu mematuhi peraturan jalan raya.

“Mereka juga boleh memaparkan notis di pintu masuk bas bagi mengingatkan penumpang supaya menggunakan tali pinggang keledar yang tersedia,” katanya.

Bagi pemandu bas, tanggungjawab mereka amat besar dalam membawa kira-kira 40 penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain dengan selamat.

“Penumpang dan keluarga mereka meletakkan harapan penuh kepada pemandu untuk membawa ahli keluarga mereka pulang dengan selamat,” katanya.

Beliau menyarankan agar pemandu turut memainkan peranan dengan mengingatkan penumpang melalui sistem audio atau semasa melakukan semakan bilangan penumpang untuk memakai tali pinggang keledar.

Kulanthayan turut menggesa penumpang bas agar lebih proaktif dan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan diri, meskipun pemakaian tali pinggang keledar belum diwajibkan.

“Penumpang juga boleh mengajak orang sebelah untuk memakai tali pinggang keledar kerana keselamatan kita turut bergantung pada tindakan penumpang lain,” katanya.

Jelasnya, dalam kemalangan, impak penumpang lain yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh mencederakan penumpang bersebelahan akibat tekanan tinggi yang dihasilkan daripada gabungan berat badan dan kelajuan kenderaan.

Beliau juga menyarankan orang ramai memilih pengangkutan awam bukan sahaja demi kemudahan, tetapi juga untuk keselamatan yang lebih terjamin, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan Aidilfitri yang menyaksikan peningkatan ketara dalam pergerakan kenderaan di jalan raya.

– BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan