Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 30 Mac (Bernama) -- India mengerahkan beberapa aset ketenteraan bagi membantu Myanmar dalam operasi menyelamat dan bantuan selepas dilanda gempa bumi.
Pesawat ketenteraan pertama, C-130, yang membawa 15 tan bahan bantuan dihantar ke Naypyidaw pada pagi Sabtu, diikuti empat lagi penerbangan pada hari yang sama.
Dua pesawat C-17, membawa unit hospital medan Tentera India yang terdiri daripada 118 anggota serta 60 tan bahan bantuan, turut mendarat di Myanmar.
Sebuah lagi pesawat C-130 membawa 38 anggota Pasukan Respons Bencana Kebangsaan (NDRF) India bersama 10 tan bahan bantuan.
Hospital medan India dilengkapi 60 katil, bagi menangani kes trauma dan pembedahan kecemasan, dijangka beroperasi pada Ahad.
Tentera Laut India juga mengerahkan empat kapal – dua dari pangkalan Port Blair dan dua dari Visakhapatnam – untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).
Kapal-kapal itu membawa sekitar 50 tan bahan bantuan, termasuk selimut, pakaian, ubat-ubatan penting dan bekalan makanan.
Dua kapal pertama, INS Savitri dan INS Satpura berlepas pada Sabtu dan dijangka tiba di perairan Yangon pada pagi Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial