KANGAR, 30 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melancarkan Program Ijtimak Amil untuk menyemarakkan peranan masjid sebagai Pusat Komuniti yang aktif dan menyantuni masyarakat setempat khususnya golongan asnaf serta memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata program itu bukan sekadar agihan bantuan semata-mata, tetapi satu bentuk dakwah bil hal yang memberikan kesan mendalam kepada masyarakat iaitu menghubungkan terus antara pemberi dan penerima zakat dalam suasana penuh kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
“Melalui pendekatan Ziarah Dakwah Bil Hal, inisiatif turun padang oleh Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh negeri Perlis adalah bagi menyantuni rakyat melalui kunjungan dari rumah ke rumah, bertanya khabar serta menyampaikan agihan bantuan.
“Program ini turut memperkukuh jalinan antara amil, masyarakat dan institusi masjid dalam memperkasakan fungsi dakwah secara langsung dan bersifat menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAIPs dalam kenyataan itu turut memaklumkan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal sempena Program Ijtimak Amil Bilangan 3 Tahun 2025 berjumlah RM1.22 juta yang berlangsung di Masjid Al-A’la, Behor Temak di sini baru-baru ini.
Program Ijtimak Amil kali ini menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dalam menyampaikan amanah zakat dengan penuh integriti dan hikmah sejajar dengan matlamat MAIPs untuk menjadikan Perlis sebagai negeri contoh dalam tadbir urus zakat yang telus dan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial