KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Dua penunggang maut selepas motosikal mereka bertembung di Jalan Kutan, Tumpat, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kemalangan kira-kira 12.15 tengah malam itu melibatkan motosikal dinaiki remaja berusia 17 tahun bersama pemboncengnya berusia 16 tahun dengan seorang lagi penunggang iaitu lelaki berusia 53 tahun.
“Siasatan awal mendapati penunggang remaja bersama pemboncengnya dari arah Pasir Pekan ke Pasir Mas itu melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan sambil memotong sebuah kereta sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggang lelaki berusia 53 tahun terbabit.
"Akibatnya kedua-dua penunggang motosikal telah terjatuh di lokasi kemalangan dan cedera parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat kedua-dua penunggang motosikal dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat manakala pembonceng yang cedera parah pada kaki dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Kemalangan itu katanya sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial