WILAYAH - SARAWAK > BERITA

219 RUMAH TERJEJAS INSIDEN KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS - POLIS

06/04/2025 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 219 rumah didapati terjejas dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya manakala 220 kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia hasil penilaian akhir fizikal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan terhadap 439 rumah dalam radius 325 meter dari pusat letupan.

"Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20 peratus manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights dekat sini hari ini.

Hussein berkata rumah dengan kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki penghuni atau pemilik rumah bermula hari ini, dengan senarai rumah berkenaan akan diedar kepada tuan rumah.

Beliau berkata setakat hari ini, 154 rumah telah boleh diduduki semula termasuk 24 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim pada sidang media sama, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada penduduk menerusi Sistem Pengurusan Aduan mengenai kerja mengorek di kawasan kejadian.

Beliau berkata pihaknya telah melakukan siasatan di lokasi kerja mengorek itu dan mendapati ia memiliki permit daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pihak Petronas, selain mematuhi prosedur ditetapkan.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan