KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Polis telah merakamkan keterangan sebanyak 118 individu bagi membantu siasatan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor setakat ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata 15 daripadanya melibatkan kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja pengorekan dan pemasangan paip kumbahan di lokasi kejadian.
“Kertas inkuiri telah dibuka untuk mengetahui sekiranya wujud sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor dan mendapati ia dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari paras jalan sedia ada.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kerja-kerja mengorek dibuat oleh kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan itu dengan lebar korekan 1.5 meter. Kerja-kerja mengorek dan pemasangan ini telah dilakukan sepanjang lebih 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi,” katanya.
Hussein berkata jalan terbabit yang merentasi saluran gas Petronas telah diluluskan untuk kontraktor melaksanakan kerja-kerja pengorekan.
Beliau berkata bagi tujuan siasatan, pihaknya menggunakan tiga jengkaut serta masing-masing satu jentolak dan ‘backhoe’ bagi menjalankan kerja-kerja penggalian yang masih diteruskan bagi meninjau saluran gas Petronas yang dipercayai berada pada kedalaman antara enam dan tujuh meter.
Kerja-kerja penggalian, katanya dipantau pihak polis bersama Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan kontraktor.
“Pihak polis mendapati saluran gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan maksudnya jarak antara paip kumbahan dan saluran gas adalah 1.6 meter. Keadaan fizikal saluran ini (gas) tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya.
Hussein berkata pada masa ini, belum dapat ditentukan sama ada kerja-kerja pengorekan oleh kontraktor ada mengganggu laluan saluran gas sehinggalah keseluruhan saluran di kawasan itu didedahkan dan disiasat lanjut.
Sementara itu, Hussein berkata setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 642 laporan polis telah diterima termasuk satu laporan menyatakan ada pihak bermain mercun pada Isnin malam (31 Mac), sebelum kejadian kebakaran berlaku pada pagi keesokannya (1 April).
“Pihak polis tidak nampaklah (kebarangkalian) kejadian pada waktu itu boleh menyebabkan letupan pada pagi tersebut... apa-apa pun, kita masih menunggu siasatan penuh,” katanya.
Ditanya mengenai identiti syarikat kontraktor, beliau berkata pada masa ini kejadian terbabit belum diklasifikasikan sebagai jenayah, justeru tiada keperluan mendedahkan nama mana-mana pihak.
“Fokus sekarang tempat kejadian, bukan mendedahkan siapa terlibat sebab ini lebih kepada siasatan. Kita pun belum klasifikasikan apa-apa jenayah, sebab itu disiasat di bawah kertas inkuiri polis, iaitu polis mempunyai kuasa untuk memanggil individu-individu untuk disiasat... dapatkan keterangan.
“Jadi kita tidak boleh tuduh siapa-siapa, atas apa-apa kelakuan dia yang boleh menyebabkan kejadian ini,” katanya.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial