WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK RAYUAN PEGUAM BERKAITAN SAHAM WORLDWIDE

08/04/2025 10:01 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati peguam Datuk Sreesanthan Eliathamby telah terlibat dalam perdagangan dalaman membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd pada 2006 dan memerintahkan beliau membayar sebanyak RM2.99 juta termasuk denda sivil RM1 juta.

Jumlah keseluruhan itu merangkumi RM1,989,402, yang mewakili tiga kali ganda keuntungan diperoleh daripada urus niaga dalaman serta denda sivil RM1 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sebulat suara menolak rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hakim Hasnah menyampaikan keputusan sebulat suara bagi pihak panel hakim lain iaitu Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin.

Mahkamah turut memerintahkan Sreesanthan untuk membayar kos guaman sebanyak RM100,000.

Dalam penghakiman, Hakim Hasnah berkata Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak perlu mendapatkan izin Peguam Negara sebelum memulakan tindakan sivil terhadap seseorang bagi pemulihan kerugian berkaitan kesalahan perdagangan dalaman.

Beliau berkata Peguam Negara boleh memohon untuk campur tangan dalam tindakan sivil melibatkan kepentingan awam, ia bukan satu kewajipan Peguam Negara memberi kebenaran sebelum tindakan sivil dimulakan.

Hakim Hasnah berkata kuasa yang diberikan secara eksklusif kepada Peguam Negara untuk memulakan pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak merangkumi tindakan sivil yang dibawa di bawah Seksyen 90A(5) Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) 1983 bagi kesalahan melanggar Seksyen 89E akta sama (kini Seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007).

“Sebarang tindakan sivil di bawah Seksyen 90A(5) SIA tidak memerlukan kebenaran daripada Peguam Negara dan tidak menjadikan tindakan sivil di bawah akta tersebut serta hukuman yang dikenakan sebagai tidak berperlembagaan,” katanya.

Beliau kemudian membacakan keputusan sebulat suara mahkamah berkaitan persoalan undang-undang sama ada kebenaran Peguam Negara diperlukan atau tidak bagi SC memulakan tindakan sivil untuk menuntut kerugian dalam kes perdagangan dalaman.

Sementara itu, Hakim Vazeer berkata dapatan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berkaitan kepentingan maklumat dalaman adalah tepat kerana terdapat bukti menunjukkan lonjakan harga saham Worldwide Holdings Bhd selepas pengumuman dibuat mengenai persitiwa selepas pengambilalihan syarikat berkenaan.

Pada November 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Sreesanthan bertanggungjawab bagi urus niaga dalaman membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd pada 2006.

Beliau telah diperintahkan membayar RM1.99 juta kepada SC iaitu tiga kali ganda nilai keuntungan yang diperoleh hasil urus niaga dalaman itu dan tambahan RM1 juta sebagai penalti sivil.

Sreesanthan juga dilarang menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama 10 tahun bermula 18 Nov 2020.

Pada 6 Sept 2022, Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada April tahun lepas, Sreesanthan memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan itu.

Sreesanthan didakwa memperoleh sejumlah 600,000 saham Worldwide antara 7 Jun dan 11 Julai 2006 semasa beliau memiliki maklumat material bukan awam berhubung penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Ketika itu, beliau adalah rakan kongsi kanan di sebuah firma guaman yang dilantik sebagai penasihat undang-undang bagi cadangan penswastaan Worldwide.

Pada perbicaraan hari ini, pasukan peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakil Sreesanthan manakala peguam SM Shanmugam, Siew Hui Yi bersama pegawai SC Shoba Venu Gopal, Daniel Ariff Tung Adib Vincent Tung dan Low Wen Zhen mewakili SC.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin pula mewakili Peguam Negara yang turut mengambil bahagian dalam prosiding itu sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan