WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA INDIVIDU DITAHAN TERLIBAT SINDIKET MENYAMAR EJEN PENGELUARAN MOTOSIKAL SITAAN POLIS

08/04/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Dua lelaki termasuk dalang utama yang disyaki terlibat sindiket penipuan menyamar sebagai ejen pengeluaran motosikal sitaan polis, ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata penahanan itu susulan laporan oleh seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang mendakwa menjadi mangsa kes penipuan berkenaan. 

Beliau berkata mangsa telah ditahan dalam satu operasi trafik pada Sabtu lepas (5 April) di Jalan Tun Razak dan motosikal miliknya telah disita atas kesalahan pengubahsuaian kenderaan sebelum mangsa pergi ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. 

“Sewaktu berada di luar Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu mengeluarkan motosikal sitaan dengan bayaran tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata mangsa kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,400 serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max kepada suspek kononnya bagi tujuan bayaran saman dan pembaharuan insurans sebelum lelaki itu melarikan diri.

Bagaimanapun, beliau berkata suspek dan seorang lelaki ditahan polis pada 6 April dan merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit milik mangsa, borang sitaan PDRM, dadah jenis syabu, serta sebuah kenderaan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Mohd Zamzuri menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan individu tidak dikenali yang menawarkan perkhidmatan berkaitan pengeluaran kenderaan sitaan atau urusan saman dan semua urusan berkaitan perkara itu hendaklah dibuat secara rasmi di kaunter yang sah, bukannya melalui orang tengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan