WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HOSPITAL KUALA LIPIS LAPOR POLIS BERHUBUNG DAKWAAN BAYI KEMBAR DILARIKAN

12/04/2025 05:49 PM

KUANTAN, 12 April (Bernama) -- Pihak pengurusan Hospital Kuala Lipis telah membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapatnya kejadian bayi kembar yang dirawat selama sembilan bulan dilarikan oleh seorang doktor palsu di hospital berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius berhubung kes berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan.

“Siasatan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak hospital itu dan kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis pada Julai 2024.

“Bagi dakwaan wujudnya doktor palsu yang bernama Dr Amalina Husna merawat “bayi” itu selama sembilan bulan pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat oleh pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis semalam, bagi mengelakkan sebarang berita tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya, kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan serta perawatan di Hospital Kuala Lipis dan JKNP khususnya.

JKNP turut mengingatkan orang ramai berhati-hati dalam penyebaran maklumat, jika tidak pasti kesahihannya.

Semalam, satu hantaran di laman Facebook bertajuk “Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis” tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man mengesahkan laporan polis dibuat oleh Hospital Kuala Lipis yang menafikan kejadian berkenaan.

“Polis masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail turut menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan cerita tidak benar sebelum mendapatkan kesahihan daripada pihak berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan