KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K.Rajagobal berharap akan ada kejutan dan kelainan dalam aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 26 April ini.
Rajagobal, yang juga pernah membimbing skuad Brunei, mengakui JDT kendalian Hector Bidoglio tampil sebagai pilihan, namun tidak menolak kemampuan Sri Pahang yang mempamerkan prestasi konsisten sepanjang saingan Liga Super musim ini.
"JDT pasukan yang konsisten, bukan sahaja dalam Piala Malaysia tetapi juga Liga Super. Mereka ada pemain yang mantap dan hampir memenangi setiap perlawanan.
"Bagaimanapun, Sri Pahang juga menunjukkan prestasi yang baik musim ini. Kedua-dua pasukan layak berada di pentas final. JDT tetap pilihan, namun dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.
"Saya harap perlawanan ini memberikan satu persembahan menarik kepada penyokong bola sepak. Semua orang teruja menantikan aksi ini dan saya berharap kita dapat menyaksikan sesuatu yang mengejutkan," katanya pada sidang media Kejohanan Bawah 17 Tahun (B-17) MySkills, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Rajagobal turut menyifatkan corak permainan agresif yang dipamerkan JDT dijangka memberi tekanan kepada Sri Pahang yang dikendalikan oleh Fandi Ahmad.
Bagaimanapun, beliau yakin Sri Pahang sudah bersedia untuk menyaingi pasukan juara bertahan itu bagi merebut kejuaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan M. Pavalamani turut berharap Sri Pahang mampu mencipta kejutan menewaskan JDT dalam saingan berprestij itu bagi memberikan kelainan buat peminat bola sepak tanah air.
"JDT sememangnya pasukan pilihan, tetapi jika Sri Pahang berjaya menewaskan JDT, sudah tentu perlawanan itu akan menjadi lebih menarik," katanya.
Aksi final edisi kali ini turut dianggap sebagai perlawanan ulangan final 2014 yang menyaksikan Sri Pahang, atau Tok Gajah, muncul juara selepas menewaskan JDT 5-3 menerusi penentuan penalti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial