WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HUAWEI, MCMC SASAR LATIH 300 PEMIMPIN DIGITAL MENJELANG 2026

16/04/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Sebanyak 300 pemimpin digital Malaysia disasar untuk dilatih menjelang 2026 melalui Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) iaitu inisiatif kerjasama antara Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Program berkenaan dilancarkan bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia 2023, dengan matlamat untuk merapatkan jurang antara kepimpinan dan teknologi serta memperkukuh agenda transformasi digital negara.

Naib Canselor Akademi Huawei Oliver Liu berkata program berkenaan bertujuan melengkapkan pemimpin dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan bagi menerajui transformasi digital dalam organisasi masing-masing, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan menggalakkan pertumbuhan mampan merentasi semua sektor.

“Nama program ini sendiri sudah cukup menggambarkan peranannya, iaitu mengiktiraf kepentingan kepimpinan dalam memacu transformasi digital dan kecemerlangan teknologi. Pemilihan nama dilakukan dengan teliti untuk mencerminkan misi utama program ini iaitu untuk memperkasakan pemimpin di seluruh sektor kerajaan, industri dan akademia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai inisiatif serupa di negara lain, Liu berkata walaupun terdapat program yang sama di Singapura dan Indonesia, program di Malaysia menonjol kerana memberi penekanan terhadap keupayaan kepimpinan teknikal dan strategik.

“Penggunaan perkataan ‘Kepimpinan’ dan ‘Kecemerlangan’ bukan sekadar pilihan penjenamaan, tetapi ia mencerminkan falsafah teras program ini.

“Kepimpinan sangat penting kerana transformasi digital bukan hanya tentang penerimaan teknologi, ia memerlukan pemimpin yang mempunyai visi untuk memacu perubahan, menggalakkan inovasi, dan membina organisasi yang tangkas serta mampu memanfaatkan teknologi digital.

“Program ini bermatlamat untuk memperkasakan peserta menjadi pemimpin berwawasan yang mampu mengemudi organisasi mereka melalui pelbagai cabaran transformasi digital,” katanya.

Liu berkata kecemerlangan menekankan komitmen program berkenaan, sambil menyatakan peserta yang dipilih adalah golongan profesional yang berkaliber tinggi.

“Ia direka untuk menggalakkan sinergi kolaboratif dengan menggabungkan pelbagai kemahiran dan perspektif. Dengan menggalakkan pemimpin untuk bekerjasama dan belajar bersama-sama, program ini bertujuan menetapkan penanda aras industri dengan penuh keyakinan sambil mengekalkan budaya penambahbaikan berterusan dan piawaian tinggi dalam melaksanakan inisiatif digital,” katanya.

Liu turut menjelaskan berkaitan kurikulum yang menggabungkan tema transformasi digital dan kepimpinan melalui pendekatan yang sistematik dan menyeluruh.

“Kurikulum menyeluruh Program DLE disusun berdasarkan bengkel tematik dan menggunakan pendekatan pembelajaran hibrid untuk kohort pertama, dengan 90 peratus sesi dijalankan secara bersemuka manakala 10 peratus secara dalam talian.

“Ia memastikan pengalaman pembelajaran yang mendalam dan interaktif, membolehkan peserta berinteraksi dengan pakar industri dan aplikasi dunia nyata secara lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata sesi latihan meliputi bidang utama seperti kepimpinan digital, keterhubungan 5G, kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau dan keselamatan siber, dengan bengkel dijalankan dua kali sebulan.

Peserta juga menjalankan projek mercu yang menumpukan kepada penyelesaian cabaran digital negara, dengan mencadangkan penyelesaian inovatif yang selaras dengan agenda digital Malaysia.

“Pada akhir program, peserta membentangkan projek mereka, yang kemudiannya diterbitkan untuk menyumbang kepada perbincangan yang lebih luas mengenai inovasi digital,” katanya.

Antara tumpuan utama program berkenaan katanya ialah lawatan penyelidikan selama enam hari ke Shenzhen, China.

“Peserta berpeluang menyaksikan teknologi terkini daripada syarikat teknologi terkemuka seperti SZ DJI Technology Co Ltd (DJI) dan BYD Company Limited. Lawatan berkenaan turut merangkumi lawatan eksklusif ke Kampus Penyelidikan dan Pembangunan Huawei di Dongguan, yang memberikan pandangan mendalam berkaitan kepimpinan transformasi dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Liu berkata dengan menggabungkan semua elemen berkenan, Program DLE bukan sahaja memberikan peserta pemahaman mendalam tentang teknologi digital, tetapi juga peluang untuk menyaksikan bagaimana teknologi itu diterapkan dalam dunia nyata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan