KANGAR, 20 April (Bernama) -- Seorang pesara pembantu makmal Kementerian Kesihatan (KKM) maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan utama Titi Tinggi dekat Padang Besar hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah dalam kenyataan berkata Ab Rashid Hashim, 73, yang memandu kereta jenis Perodua Viva meninggal dunia di lokasi kejadian dan polis menerima laporan mengenai insiden itu pada 1.15 tengah hari.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dari arah Kangar menuju Padang Besar memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar kereta Viva dan seterusnya dua lagi kereta jenis Perodua Axia dan Myvi.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan kes masih dalam siasatan.
“Hasil semakan dapati pemandu Ford Ranger mempunyai satu rekod saman trafik iaitu memotong garisan berkembar,” katanya.
Mohd Shokri berkata mayat warga emas itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini manakala pemandu Ford Ranger serta pemandu dan beberapa penumpang kereta Axia dan Myvi cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial