WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAGBI: KELAB UAE, CHINA UNGGULI KEJOHANAN KLK BORNEO SEVENS 2025

20/04/2025 09:59 PM

SANDAKAN, 20 April (Bernama) -- Kejohanan KLK Borneo Sevens 2025 yang berakhir hari ini menyaksikan kedua-dua gelaran bagi kategori lelaki dan wanita dimenangi oleh pasukan yang kali pertama menyertainya.

Dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Kelab Ragbi Eagles, di sini pasukan Shaheen 7s dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul juara kategori lelaki selepas menewaskan pasukan tuan rumah Borneo Eagles manakala Hua Gan Guo Ji RC dari China menundukkan Borneo Flyers untuk merangkul gelaran kategori wanita.

Wakil pasukan Shaheen 7s Sultan Ahli menyifatkan pengalaman menyertai kejohanan itu sebagai sangat bemakna meskipun berdepan saingan sengit, membuktikan bahawa mereka hadir bukan sekadar melengkapkan penyertaan, tetapi benar-benar untuk bersaing secara kompetitif.

Sementara itu, pemain Hua Gan Guo Ji RC Wang XinYao menyatakan rasa bangga atas kejayaan itu dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan serta memuji kerja keras rakan sepasukan sehingga mereka muncul juara.

Shaheen 7s bangkit garang pada separuh masa kedua, memperoleh mata awal dan memastikan kemenangan menerusi try pada saat-saat akhir, menewaskan Eagles dengan keputusan 24-19. Hua Gan Guo Ji RC pula mempamerkan aksi bertenaga apabila menundukkan Borneo Flyers 22-10.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dengan pasukan Shaheen 7s dan Hua Gan Guo Ji RC masing-masing membawa pulang Trofi Cabaran serta wang tunai USD5,000 manakala naib juara Borneo Eagles dan Borneo Flyers masing-masing menerima USD2,000.

Sementara itu, pengerusi penganjur merangkap Presiden Kelab Ragbi Eagles Sandakan Vela Tan memuji persembahan pasukan-pasukan yang julung-julung kali menyertai kejohanan itu, khususnya Shaheen 7s.

“Ini mungkin penyertaan pertama UAE di rantau ini  dan mereka telah menunjukkan prestasi yang luar biasa. Tahniah kepada mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan