WILAYAH - TIMUR > BERITA

KPDN KESAN 24 KES OP PANTAU, SHMMP HARI RAYA PUASA

20/04/2025 07:18 PM

KUALA NERUS, 20 Apr (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesan sebanyak 24 kes membabitkan pelbagai kesalahan menerusi Op Pantau dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025.

Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata kes itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 3,939 premis, termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan pasar raya mini.

Mohd Mufsi berkata daripada 24 kes berkenaan, 20 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala empat lagi membabitkan Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Op Pantau telah dilaksanakan bermula 2 hingga 30 Mac manakala SHMMP pula 24 Mac hingga 7 April lalu.

"Op Pantau menumpukan kepada beberapa aspek utama seperti pemantauan bekalan dan harga barangan, jualan murah dan pelabelan halal manakala SHMMP bertujuan mengekang aktiviti manipulasi harga barangan ketika musim perayaan.

"Antara kesalahan utama dikenal pasti iaitu tidak meletakkan tanda harga dan menggunakan alat timbang tamat tempoh atau tidak ditentusahkan," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Kepenggunaan Bersama Pelanggan KPDN Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Mufsi berkata walaupun musim perayaan sudah berakhir, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan harga di premis tumpuan ramai.

Beliau berkata di Terengganu seramai 118 anggota penguat kuasa KPDN dan 57 Pegawai Pemantau Harga (PPH) siap sedia bertugas bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan