WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN KELANTAN REKOD 284 KES DENGAN NILAI RAMPASAN LEBIH RM800,000

20/04/2025 05:06 PM

KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan 284 kes pelanggaran undang-undang melibatkan rampasan bernilai lebih RM800,000 bagi tempoh dari 1 Jan tahun ini hingga semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata daripada jumlah itu, 14 kes telah dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM50,000 manakala kompaun yang berjaya dikutip berjumlah RM50,300.

Beliau berkata sebanyak 55 tangkapan turut direkodkan sepanjang tempoh berkenaan hasil operasi penguatkuasaan berterusan di seluruh negeri.

"Sebanyak 94 kes dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan rampasan barang kawalan bernilai RM136,713.58 dengan jumlah keseluruhan rampasan di bawah akta itu mencecah RM804,996.48 dan 54 tangkapan dibuat.

“Nilai kompaun bagi kes-kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah RM130,300 manakala denda dikenakan oleh mahkamah berjumlah RM50,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN Kelantan di pejabatnya, di sini hari ini.

Azman berkata pihaknya turut menyita bahan api bersubsidi melibatkan 20,846 liter petrol bernilai RM43,251.31 dan 14,963 liter diesel bernilai RM42,435.39.

Selain itu, KPDN Kelantan menerima sebanyak 55 kes serahan daripada agensi penguat kuasa lain, membabitkan rampasan pelbagai barang kawalan seperti petrol, diesel, gas petroleum cecair, gula, minyak masak dan tepung gandum, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM113,387.04.

“KPDN Kelantan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyalahgunakan atau menyeludup barang kawalan bersubsidi bagi menjamin kestabilan bekalan dan melindungi hak pengguna.

“Operasi dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan sempadan bagi membendung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan