KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Seni, sastera dan sejarah serantau yang diwarisi sejak zaman-berzaman setiap negara ASEAN perlu dimanfaat bagi mengeratkan kebersamaan, meningkatkan kerjasama budaya dan menyemarakkan identiti bersama.
Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara (Persalina) Ninot Aziz berkata Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 yang merupakan acara tahunan di negara ini antara yang boleh diketengahkan sebagai platform ke arah mencapai hasrat itu.
Beliau berkata tahun ini beberapa penerbitan yang mengangkat sastera, seni dan sejarah Asia Tenggara akan diperkenalkan pada pesta buku itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dari 23 Mei hingga 1 Jun.
“Hikayat Fandom bersama Persalina telah secara aktif mengumpulkan cerita lisan serantau untuk mencetuskan sebuah projek yang berjaya mengumpulkan karya tukang cerita dan penulis dari pelbagai negara Asia Tenggara.
“Antologi diberi nama Penglipur Lara ini bakal menghimpunkan 60 cerita rakyat Asia Tenggara yang mengangkat hikayat serta cerita rakyat serantau,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Elemen seni, sastera dan sejarah juga menjadi fokus utama bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam pemerkasaan visi Komuniti ASEAN 2025.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ninot berkata selain antologi berkenaan, karya lain yang akan dibawa termasuk buku Kepulauan Melayu - Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Dunia Silam dan Mutiara Kata Alam Melayu yang memaparkan kata-kata hikmah tokoh serantau seperti Prof Dr Hamka, Jose Rizal dan Prof Diraja Ungku Aziz serta ramai lagi.
Beliau berkata untuk penganjuran tahun ini juga, Persalina memperhebat usaha mengumpul kisah cerita rakyat serantau dengan memanjangkan jemputan dan berhubung dengan penulis seperti dari Indonesia, Filipina, Singapura, Myanmar dan Thailand.
“Dengan ASEAN 2025 sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara negara-negara di Asia Tenggara, adalah penting kita terus mendukung usaha mewartakan cerita-cerita rakyat yang menunjukkan identiti dan keindahan warisan budaya yang kita miliki bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial