ALOR GAJAH, 21 April (Bernama) -- Sebanyak 666 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM19.52 juta dilaporkan di Melaka dalam tempoh 1 Jan hingga semalam (Ahad).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 157 kes direkodkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) manakala 509 direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata penipuan berkenaan melibatkan pelbagai modus operandi antaranya jual beli dalam talian, penipuan cinta atau love scam dan pelaburan tidak wujud dengan mangsa melibatkan pelbagai kategori seperti ibu tunggal, penjawat awam dan pekerja swasta.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 399 tangkapan dilakukan manakala 231 pertuduhan telah dibuat berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa.
"Kebanyakan mangsa ditipu sindiket ialah golongan berusia 25 hingga 40 tahun manakala wanita paling ramai ditipu sindiket love scam dan pembelian dalam talian sementara golongan lelaki paling ramai ditipu menerusi sindiket pelaburan tidak wujud," katanya ketiak ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rembia yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
Fairul Nizam berkata sindiket penipuan itu aktif menjalankan kegiatan mereka menerusi pelbagai modus operandi dan semalam sahaja, polis menerima lapan laporan kes penipuan di Melaka Tengah dan satu di Alor Gajah membabitkan kerugian lebih RM400,000.
Beliau berkata kes yang dilaporkan melibatkan penipuan tawaran khidmat bersih rumah, penyaman udara dan pembelian kereta tidak wujud di Facebook dan tawaran kerja menerusi WhatsApp.
"Antara kes yang dilaporkan, kerugian tertinggi direkodkan ialah berjumlah RM245,570 iaitu melibatkan satu kes penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius kes penipuan dalam talian dengan melaksanakan pelbagai usaha termasuk ceramah, pameran dan menubuhkan 'Task Force Judi Online, Fraud dan Jenayah Cyber' untuk meningkatkan kesedaran rakyat agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang modus operasi sindiket terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial