WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU BENDERA : TINDAKAN PDRM BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG - FAHMI

21/04/2025 02:35 PM

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu, dibuat berlandaskan undang-undang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata polis mempunyai kuasa untuk menahan mengikut undang-undang bagi menjalankan siasatan berhubung isu yang terbabit.

“Kesalahan pertama dikesan melalui edisi cetakan Sin Chew, maka siasatan awal dilakukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, serta beberapa akta lain dibawah bidang kuasa PDRM,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat NADI Taman Sri Skudai  di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya tentang tindakan pihak tertentu yang tidak senang dengan tindakan PDRM  menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Pada 17 April, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kedua-dua individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, tetapi dibebaskan beberapa jam selepas itu. 

Sebelum itu, akhbar berbahasa Cina tersebut dilaporkan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.

Isu itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah supaya pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan