WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMAKAIAN LENCANA JALUR GEMILANG LANGKAH POSITIF SEMAI SEMANGAT CINTA KEPADA NEGARA - AMIRUDIN

21/04/2025 02:37 PM

SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar merupakan langkah positif dalam menyemai semangat cinta dan sayang kepada negara, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, langkah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu turut melambangkan perpaduan serta kesedaran terhadap identiti kebangsaan dalam kalangan murid, selaras dengan aspirasi MADANI.

“Selaras dengan aspirasi MADANI, ia menyemarakkan semangat kenegaraan dan menyemai nilai karamah insaniah, iaitu kemuliaan insan yang membentuk sahsiah terpuji.

“Jalur Gemilang adalah simbol kemegahan, kebanggaan dan kehormatan buat seluruh rakyat Malaysia. Seharusnya panji Jalur Gemilang ini dijunjung dan dipelihara kehormatannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Hantaran itu turut disertakan dengan beberapa gambar beliau meluangkan masa bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, sambil memakaikan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar, hari ini.

Amirudin berkata semangat patriotisme perlu disemai sejak di bangku sekolah sebagai asas membentuk rasa cinta terhadap tanah air, walaupun perkara itu tampak kecil.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian itu, bermula 21 April 2025.

Langkah tersebut melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga pendidik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan