GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Kesalahan memaparkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku dan semua pihak perlu memastikan agar perkara yang sama sekali tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ini kerana kesilapan tersebut boleh mencetuskan keresahan awam serta menjejaskan semangat perpaduan dan keharmonian negara yang telah lama dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya raya ia sesuatu yang tidak sepatutnya, ia satu kejadian yang tidak patut terjadi di negara kita yang sudah lama menggunakan bendera (Jalur Gemilang) itu. Saya rasa semua pihak terkejut bagaimana perkara seperti itu (bulan sabit) tidak ada di situ. Bagi saya ia sesuatu yang mengejutkan.
“… jangan buat macam itu, ia akan menimbulkan ketidakharmonian dan kacauan, kita di kementerian ini nak elakkan. Kita mahukan keamanan dan perpaduan, kita mahukan rakyat bersama-sama membawa perpaduan dan pembangunan ekonomi, kita sebuah negara aman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini hari ini.
Sehubungan itu, Aaron menasihatkan semua pihak untuk menyemak dan memastikan paparan imej Jalur Gemilang adalah tepat, sebelum dikeluarkan untuk tatapan umum.
Mengulas mengenai jika permohonan maaf yang dibuat oleh pihak terlibat sudah memadai, beliau berkata ia satu amalan bahawa setiap kesalahan perlu disusuli dengan permohonan maaf.
“… mereka yang terlibat tidak mempunyai pilihan. Ia satu kesilapan yang telah mereka lakukan, saya rasa cara terbaik yang mereka boleh lakukan ialah meminta maaf. Tetapi terpulanglah kepada pengurusan tertinggi agensi itu jika mereka perlu mengambil tindakan, itu hak mereka,” katanya.
Selasa lepas, akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Berikutan itu, akhbar tersebut tampil memohon maaf dan menjelaskan ia suatu kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Selain akhbar tersebut, sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura yang turut serta dalam pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley di Kuala Lumpur, telah memohon maaf kerana memuat naik video memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Singapore Lactation Bakes (SLB) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengakui betapa penting Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan negara.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata Kementerian Perpaduan kini sedang melaksanakan kajian kali ketiga Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), bagi menilai tahap perpaduan rakyat Malaysia.
“Kita pernah buat dua kali, ini kali ketiga. Indeks sekarang sederhana, lebih kurang 0.6. Kita sasarkan 0.7, yang menunjukkan tahap perpaduan yang selamat. Kajian ini dijalankan oleh sekumpulan profesor daripada universiti tempatan dan cara pengiraan melalui kaedah tinjauan,” katanya.
Terdahulu, Aaron dalam ucapannya berkata Kementerian Perpaduan Negara mencadangkan agar Modul Pendidikan Rukun Negara diperluas ke semua tadika di seluruh negara, termasuk prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan, Tabika KEMAS dan prasekolah swasta.
Beliau berkata pada masa ini, terdapat 1,781 Tadika Perpaduan atau Tabika Perpaduan yang telah memperkenalkan modul Rukun Negara dengan penanaman nilai-nilai perpaduan dan kebaikan serta modul menjadikan kanak-kanak lebih berdikari.
Aaron berkata kementerian juga komited memperluas jumlah Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara di sekolah dan institusi pendidikan tinggi di seluruh negara, yang bertujuan memperkuat usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata perkata itu merupakan antara inisiatif utama yang bertujuan mendidik nilai-nilai perpaduan daripada peringkat awal kehidupan dan berterusan hingga ke pendidikan tinggi dan penglibatan nasional, selaras dengan visi kementerian untuk membina Malaysia yang harmoni, inklusif dan bersatu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial