WILAYAH - SELATAN > BERITA

PENGAMBILALIHAN KONSESI MENARA KL TIDAK MEMIHAK KEPADA MANA-MANA PIHAK - FAHMI

21/04/2025 04:09 PM

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Isu pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tidak memihak kepada mana-mana pihak berkepentingan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata notis pengosongan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan juga bukan bentuk penindasan, sebaliknya ia langkah berasaskan undang-undang.

Beliau berkata kes tersebut kini dalam proses perundangan di mahkamah dan semua pihak diminta memberi ruang kepada proses keadilan berjalan.

"Tindakan yang diambil adalah demi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sri Skudai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi yang mengarahkan Menara KL ditutup sementara waktu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Menurut kenyataan itu pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

Sehubungan itu Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan