PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mencadangkan supaya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memiliki bangunan dengan nama agensi itu sendiri, agar kewujudan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu lebih signifikan dan bertepatan dengan peranan agensi itu.
Mohd Na’im berkata beliau sendiri telah mengusulkan cadangan itu kepada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) bulan lepas ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud dan cadangan itu mendapat reaksi positif daripada pihak berkenaan.
“…secara umum dan lisan presiden (Fadlun) bersetuju dengan cadangan saya, cuma proses lanjut akan berjalan dan ambil masa sedikit,” kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat YAPEIM di sini hari ini.
Beliau berkata sudah tiba masanya agensi yang ditubuhkan pada Oktober 1976 itu memiliki bangunan dengan nama sendiri kerana ia melambangkan kewujudan YAPEIM yang selama ini giat memainkan peranan memperkasakan pembangunan ekonomi masyarakat Islam di negara ini.
Terdahulu ketika berucap, Mohd Na’im berkata beliau berharap bangunan ibu pejabat baharu YAPEIM itu dapat menjadi pemangkin dan penyuntik semangat kepada pengurusan dan warga kerja agensi itu untuk bekerja lebih keras dan berkhidmat dengan cemerlang.
Mengenai program yang telah dilaksanakan YAPEIM, beliau berkata agensi itu memperuntukkan RM1.2 juta melalui agihan kepada 7,700 pelajar yang memerlukan, menerusi program Ramadan MADANI YAPEIM di lebih 20 lokasi di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial