KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bersama Protac Insurance Broker Sdn Bhd hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada ibu bapa seorang pelajar Tabika KEMAS yang maut selepas terjatuh dari tingkat lima kediamannya di Selayang Heights, Februari lepas.
Lawatan santunan kasih oleh Protac yang merupakan anak syarikat RISDA Holdings itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada keluarga Allahyarham Hannah Nur Qairina Hamdikaswa, 6.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata selain sumbangan yang disampaikan hari ini, keluarga mangsa turut menerima sumbangan daripada KEMAS Selangor berjumlah RM9,500 sebagai tambahan kepada sumbangan awal jabatan itu berjumlah RM7,500.
“Hari ini kita sampaikan sumbangan CSR Protac … walaupun mangsa sempat bersekolah di Tabika Kemas Selayang Indah ini, ketika kejadian pada 28 Feb lepas Perlindungan Skim Insurans Berkelompok Kanak-Kanak Tabika KEMAS mangsa masih belum matang.
“Berdasarkan perlindungan insurans berkelompok, kalau berlaku kemalangan maut, nilai perlindungan adalah sebanyak RM50,000,” katanya kepada Bernama selepas menyantuni keluarga mangsa di sini hari ini.
Replika cek sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Protac Insurance Broker Sdn Bhd Jamaluddin Harun kepada bapa Allahyarham, Hamdikaswa Abdullah, 38, yang disaksikan Mohd Hanafiah.
Mohd Hanafiah berkata perlindungan Skim Insurans Berkelompok Kanak-Kanak Tabika KEMAS adalah secara automatik sejurus pendaftaran dibuat dengan bayaran RM10 setahun.
“Skim ini diperkenalkan sejak tujuh tahun lepas bagi memberi perlindungan selama 24 jam tertakluk kepada terma dan syarat dengan kadar caruman tahunan hanya RM10.
“Walaupun dalam kes ini insurans belum aktif sepenuhnya, kita bersyukur kerana adanya keprihatinan daripada rakan korporat seperti Protac yang sudi menyalurkan sumbangan atas dasar CSR,” katanya.
Sementara itu, Jamaluddin berkata KEMAS dan Protac berada di bawah satu payung yang sama dan kerjasama erat akan terus dijalinkan pada masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial