WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1MDB PILIH UNTUK BAHAGI PENGHANTARAN USD1 BILION, BUKAN BNM TENTUKAN - SAKSI

21/04/2025 07:27 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Tindakan membahagikan penghantaran wang berjumlah USD1 bilion adalah keputusan perniagaan yang dilakukan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ia bukan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Deutsche Bank Malaysia Berhad (DBMB) Raymond Yeoh Chen Seong, 62, berkata beliau telah menghubungi Wan Hanisah Wan Ibrahim dari Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing BNM untuk mendapatkan penjelasan mengenai transaksi itu yang membabitkan penghantaran wang kepada syarikat usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

“Semasa membuat panggilan itu, saya menjelaskan mengenai arahan kiriman wang yang telah dikemas kini.

"Wan Hanisah berkata perkara itu bukan ditentukan oleh BNM dan ia adalah keputusan perniagaan oleh 1MDB,” beliau berkata sambil menambah panggilan itu telah dibuat melalui talian yang direkodkan di bilik urus niaga DBMB dan Ketua Jualan Korporat Pasaran Global bank berkenaan Jacqueline Ho turut berada di talian.

Yeoh, yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-22 pada perbicaraan Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1MDB, berkata pihaknya telah menjalankan urus niaga kiriman wang itu selepas mendapat pengesahan lisan dan arahan daripada 1MDB.

1MDB diwakil oleh CEO syarikat berkenaan ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Casey Tang Keng Chee.

Beliau juga berkata susulan pengesahan lisan daripada BNM dan arahan IMDB, DBMB melaksanakan kiriman wang sebagaimana diarahkan.

Yeoh berkata wang USD1 bilion dihantar dalam dua bahagian iaitu USD700 juta ke akaun di RBS Coutts, yang kemudian didapati adalah milik Good Star Limited iaitu sebuah syarikat kepunyaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Baki USD300 juta telah dipindahkan ke akaun di JP Morgan.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie case terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat penyalahgunaan kedudukan untuk menerima rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan