WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAN LIBERALISASI VISA DILANJUTKAN LIMA TAHUN, RANGSANG EKONOMI NEGARA

22/04/2025 02:11 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Pelan Liberalisasi Visa (PLV) untuk pelancong China dilanjutkan selama lima tahun berikutan inisiatif itu merangsang ekonomi negara dengan segera, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata persetujuan melanjutkan PLV dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dan dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama yang ditandatangani semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.

Antaranya ialah perjanjian pengecualian visa bersama bagi pemegang pasport urusan awam dan biasa, yang ditandatangani Saifuddin Nasution dan Menteri Luar China Wang Yi.

“Kita lanjutkan untuk lima tahun dan sejurus tamat lima tahun, opsyennya adalah kita sambung lagi lima tahun – iaitu tempoh 90 hari keberadaan rakyat mereka (China) di negara kita sebagai pelancong.

“Dan mereka (China) pun menunjukkan reaksi sama, timbal balas yang sama juga kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

PLV bertujuan menjana hasil pendapatan negara dan dilaksanakan dengan penambahbaikan kemudahan Imigresen sedia ada yang telah dinikmati pengembara ke Malaysia, termasuk dari Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Asia Barat.

Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata perjanjian pengecualian visa bersama akan meningkatkan pertukaran dan kerjasama serta memajukan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama.

Saifuddin Nasution berkata sepanjang pelaksanaan PLV, impak kemasukan pelancong dari China meningkat dan rata-rata mereka membelanjakan sekitar RM7,000 berdasarkan maklumat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Jadi bila kita hitung balik dari segi jumlah ketibaan, ternyata ia adalah satu formula yang boleh merangsang sumbangan ekonomi dengan segera dan impaknya besar.

“Setakat April tahun ini, angka kemasukan yang direkodkan untuk rakyat China ke negara kita sudah  menghampiri 900,000 pelancong,” katanya sambil menambah lebih empat juta pelancong China direkodkan ke Malaysia tahun lepas.

Beliau menegaskan aspek pelancongan merupakan komponen penting kepada penyumbang ekonomi negara kerana ia memberi kesan segera berbanding pelaburan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution telah melancarkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEAKS) bertujuan memudahkan orang ramai membuat aduan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“SPEAKS memudahkan orang ramai membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) supaya tindakan susulan boleh diambil,” katanya.

Mengenai MyDigital ID, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai MyDigital ID berkata KDN akan membentangkan pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara. 

“Jadi tugas kami adalah untuk membentangkan di Parlimen pindaan Akta Pendaftaran Negara bagi membolehkan pemakaian, penggunaan, transaksi Digital ID itu dianggap sah dari segi undang-undang,” katanya. 

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diberi peranan sebagai agensi utama dalam prapendaftaran MyDigital ID dalam usaha mempertingkatkan kadar pendaftaran terhadap pengenalan diri individu secara digital negara. 

MyDigital ID ialah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan