WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KELANTAN NEGERI KEDUA PALING SELAMAT DI MALAYSIA 

22/04/2025 03:24 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Kelantan berada di kedudukan kedua negeri paling selamat selepas Sabah berdasarkan nisbah jenayah indeks kepada populasi penduduk. 

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata ia disahkan melalui laporan terkini mengenai kadar jenayah di Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Rekod berkenaan dikeluarkan berdasarkan kadar jenayah indeks yang berlaku termasuk jenayah kekerasan membunuh, mencederakan, kecurian harta benda, merogol dan merompak. 

“Kelantan merekodkan jenayah indeks kedua terendah dengan skor 96 per 100,000 penduduk, sekali gus menjadi negeri kedua paling selamat di negara ini selepas Sabah yang mencatatkan jenayah indeks dengan skor 95 per 100,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai pencapaian kerajaan negeri dalam penghayatan Membangun Bersama Islam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri juga berharap isu penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan tidak dipolitikkan kerana isu itu turut berlaku di negeri-negeri lain.

“Sebagai contoh, suatu masa dahulu ketika Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar, negeri Kelantan merekodkan pengambilan pil kuda paling tinggi, sekali gus kenyataan itu telah mengejutkan kita. 

“Jadi, kita panggil Ketua Bahagian Narkotik Cawangan Kelantan untuk bincang mengenai perkara itu dan menjelaskan Kelantan merekodkan pengambilan pil kuda, manakala negeri lain ada yang paling tinggi minum air ketum... Masing-masing ada rekod mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan antara negeri tertinggi mencatat penyalahgunaan dadah adalah Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. 

Mohamed Fadzli berkata susulan itu kerajaan negeri juga mengambil beberapa inisiatif untuk menangani gejala sosial dan peningkatan kes jenayah termasuk menubuhkan enakmen baharu, menutup kedai judi, mengawal penjualan arak dan sebagainya.

“Kita juga giat melakukan kempen solat, kempen menutup aurat, menubuhkan enakmen kawalan hiburan, pengubahsuaian terhadap budaya rakyat Kelantan yang bertentangan dengan Islam sebagai contoh Mak Yong, wayang kulit dan sebagainya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan