WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: MEDIA DIBAWA MASUK KE LOKASI RABU DEPAN

23/04/2025 07:38 PM

SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Polis akan membawa pengamal media memasuki lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Rabu minggu depan. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lawatan itu bagi membolehkan pengamal media melihat sendiri kerja-kerja pengorekan tanah yang dilakukan di lokasi kejadian oleh pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata pada dasarnya kerja-kerja pengorekan telah berjaya menemukan paip gas yang meletup tetapi disebabkan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini, proses berikutnya telah terganggu.

“Kita masih mengalami kesulitan berikutan keadaan cuaca hujan setiap hari minggu ini menyebabkan banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan terganggu.

“Kita akan anjur lawatan oleh media ke kawasan itu pada Rabu hadapan untuk media melihat sendiri kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak berkuasa berkaitan dan melihat betapa kompleksnya siasatan di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 18 April lepas, Hussein dilaporkan berkata kerja pengorekan tanah hampir selesai dan pihaknya menjangkakan laporan awal siasatan teknikal berhubung insiden itu diperoleh dalam tempoh seminggu lagi.

Katanya kajian forensik sedang dijalankan oleh pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sebelum laporan awal dikeluarkan.

Hussein berkata sebahagian spesimen yang ditemui semasa kerja pengorekan telah diambil oleh pihak berkuasa terbabit dan kini usaha diteruskan bagi mencari serpihan lain akibat letupan yang boleh membantu mencari punca kejadian.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan