KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Status bantahan melibatkan pemilihan beberapa cabang PKR akan diumum minggu depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata ketika ini, pihaknya masih menunggu laporan daripada jawatankuasa berkenaan.
"...akan ambil masa sebab kita kena teliti semua bantahan dan aduan sebelum buat keputusan muktamad.
“Ada beberapa (bantahan) keputusan cabang dan kita akan umumkan dalam minggu depan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Semalam, Dr Zaliha berkata sebarang bantahan dan rayuan dikemukakan mana-mana pemimpin PKR berhubung pemilihan peringkat cabang akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan serta Jawatankuasa Rayuan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Beliau berkata bantahan atau aduan terbabit akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan dipengerusikan Datuk Ahmad Kassim manakala rayuan pula disemak Jawatankuasa Rayuan dipengerusikan Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Beberapa nama seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP.
Pemimpin lain yang kalah turut mengambil langkah sama termasuk Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat (Selayang) dan Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam yang mengambil keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP berikutan kekalahan tipis di Cabang Sungai Siput.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial