WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FADILLAH SERTAI SESI PLENO PERINGKAT MENTERI PADA SIDANG KEMUNCAK KESELAMATAN TENAGA

25/04/2025 06:50 PM

LONDON, 25 April (Bernama) --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyertai sidang pleno peringkat menteri pada hari kedua Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House di sini pada Jumaat.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi diiringi Setiausaha Sulit Kanan Datuk Ahmad Wafi Harussani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili, dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Sarawak Energy Elain Tan.

Pleno peringkat menteri selama tiga jam yang bermula pada 9.45 pagi waktu tempatan itu dimudahcarakan oleh Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Dr Fatih Birol.

Bersambung daripada hari sebelumnya, pleno hari akhir itu memberikan peluang kepada kerajaan untuk membincangkan keutamaan dan tindakan yang akan mereka ambil untuk membentuk agenda global melangkaui daripada sidang kemuncak tersebut serta merangka pendekatan yang dinamik dan padu bagi menjamin keselamatan tenaga.

Sesi itu secara khususnya bermatlamat untuk mencapai konsensus dalam usaha membentuk pendekatan holistik terhadap keselamatan tenaga dan mengenal pasti keutamaan keselamatan tenaga sedia ada dan yang baharu.

Selain itu, ia juga bertujuan memastikan kerajaan mempunyai instrumen diperlukan untuk mencegah dan bertindak balas terhadap spektrum cabaran yang dihadapi apabila konteks keselamatan tenaga berkembang, serta menyelaras dan menjalin kerjasama secara berkesan bagi memastikan keselamatan tenaga nasional dan global pada masa ini dan bagi tempoh jangka panjang.

Sidang kemuncak dua hari itu yang bermula semalam dianjurkan oleh IEA serta kerajaan United Kingdom dan menghimpunkan penggubal keputusan dari seluruh dunia untuk merangka tindakan bagi memetakan dan membentuk masa depan keselamatan tenaga.

Fadillah, yang tiba di sini pada Rabu sempena lawatan kerja selama tiga hari kemudiannya akan bertemu diaspora Malaysia di UK di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Esok, beliau dijadualkan melawat Blyth Offshore Windfarm di Newcastle, ladang angin pesisir pantai untuk meneroka potensi tenaga baharu yang boleh dimanfaatkan Malaysia.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan