Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Unit Polis Pelancong (UPP), sebuah unit khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek keselamatan dan keyakinan pelancong menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya di ibu negara dan pusat pentadbiran negara.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur SAC Ravindar Singh Sarban Singh berkata kehadiran anggota UPP secara menyeluruh (omni presence) di lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, Petaling Street, Little India, Bukit Bintang, Putra Perdana dan Masjid Putra dapat meningkatkan rasa selamat dan mengurangkan risiko jenayah.
"UPP bukan sahaja menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang serta kawalan trafik dan orang ramai, malah bertindak sebagai sumber maklumat dan bantuan kepada pelancong, termasuk memberikan panduan arah dan bantuan kecemasan awal," katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa peranan UPP sebagai penghubung antara pelancong, pihak berkuasa, dan komuniti tempatan mampu mewujudkan pengalaman pelancongan yang positif, selaras dengan aspirasi tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.
"PDRM juga telah mengambil langkah awal dengan memberikan latihan dalam perkhidmatan kepada petugas, seperti kursus bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi, penyeliaan, pengurusan kecemasan, dan kawalan lalu lintas sebagai persiapan menghadapi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Ravindar Singh berkata bilik gerakan dan pusat kawalan sementara turut diwujudkan, sementara koordinasi penugasan antara agensi diperkukuh bagi memastikan keperluan logistik dan peralatan komunikasi yang mencukupi.
Beliau menegaskan bahawa meskipun kadar jenayah di Putrajaya kekal rendah, aspek keselamatan serta kesejahteraan awam tetap menjadi keutamaan, memandangkan ia melibatkan imej dan simbol keselamatan negara.
Katanya sebarang insiden yang berlaku di Putrajaya akan memberikan impak besar kepada persepsi antarabangsa terhadap kemampuan PDRM sebagai pasukan penguatkuasaan utama negara.
"Pengalaman negara menganjurkan persidangan antarabangsa sebelum ini telah membina keyakinan dalam kalangan negara luar untuk melawat Malaysia. Oleh itu, kejayaan serta keyakinan tersebut perlu diperkukuh dengan memberikan tumpuan kepada aspek keselamatan secara mikro (terperinci) dan makro (umum) agar tiada aspek yang terlepas pandang," jelasnya.
Ravindar Singh turut menerangkan bahawa pejabat operasi UPP di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) dan Berjaya Times Square bertindak sebagai "titik pertemuan" (converging point) untuk memudahkan anggota UPP yang bertugas di lapangan berkumpul, berbincang, serta mengambil tindakan, yang juga menjadi simbol kehadiran UPP di pusat pelancongan.
"Mesyuarat perancangan peringkat daerah dan ibu pejabat polis juga akan diadakan bagi memastikan kelancaran 189 aktiviti utama ASEAN 2025, termasuk penetapan pegawai bertanggungjawab di setiap lokasi," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa risikan awal dan pembangunan pelan keselamatan yang komprehensif akan dilaksanakan untuk menghadapi sebarang potensi ancaman sepanjang berlangsungnya acara antarabangsa tersebut.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog akan bermula pada penghujung Oktober, sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei itu dijangka menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi dan memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Tema ASEAN 2025 ialah ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global serta mencerminkan komitmen kolektif rantau ini untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan dan saksama.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali, iaitu pada 1977, 1997, 2005, dan kali terakhir pada 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial