WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHINDA JANJI PERKUKUH TADBIR URUS, LONJAK PRESTASI KRIKET NEGARA

27/04/2025 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) --  Presiden baharu Persatuan Kriket Malaysia (MCA) Mahinda Vallipuram berikrar untuk meletakkan keutamaan terhadap tadbir urus dan hasil berimpak tinggi dalam usaha mengangkat sukan kriket negara ke tahap lebih cemerlang.

Mahinda, yang sebelum ini menerajui MCA selama tiga penggal dari 2015 hingga 2021, berkata pentadbiran berstruktur, telus dan terbuka akan menjadi asas kepada hala tuju baharu badan induk itu.

“Kami dalam Jawatankuasa Eksekutif akan memastikan proses yang tersusun dan cekap dilaksanakan bagi menjamin pertumbuhan sukan ini, selain memastikan setiap keputusan berpandukan disiplin serta pelaporan yang jelas. Hasil yang baik hanya datang apabila tadbir urus dilakukan dengan betul,” katanya menerusi kenyataan selepas pemilihan MCA hari ini.

Menurut Mahinda tumpuan utama adalah melaksanakan program yang mampan dan menyeluruh, selain memperkasa prestasi di setiap peringkat — daripada pembangunan akar umbi hingga ke tahap elit.

“Apa yang lebih penting, kami mahu lihat kemajuan sebenar – mengembalikan kriket Malaysia ke landasan yang sebenar. Keseimbangan antara pembangunan dan prestasi tinggi perlu selari demi mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.

Beliau turut menetapkan sasaran untuk skuad lelaki dan wanita negara menembusi kelompok 15 terbaik dunia dalam kitaran akan datang Persekutuan Kriket Antarabangsa (ICC) bagi tempoh 2027–2031.

Ketika ini, skuad lelaki negara menghuni tangga ke-26 manakala skuad wanita berada di kedudukan ke-29 dalam ranking T20 ICC.

Tahun ini bakal menjadi musim padat buat pasukan kebangsaan — skuad lelaki dijadualkan beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia T20 ICC di Oman, Oktober ini sebelum ke Sukan SEA di Thailand pada Disember. Skuad wanita pula akan menyertai kejohanan anjuran Majlis Kriket Asia (ACC) serta Sukan SEA.

 

Senarai Jawatakuasa Eksekutif MCA Bagi Penggal Baharu:

Presiden: Mahinda Vallipuram

Timbalan Presiden: Gordon Chung Pei Nan

Naib Presiden: Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin, Prof. Dr. Faidz Abd Rahman

Setiausaha Kehormat: Richard Tan Wu Chu

Bendahari Kehormat: Sehar Sinnadurai

Ahli Jawatakuasa Biasa: Dr. Nur Shakila Mazalan, Dr. Haji Razli Ramli, Sathes Kumar Mangaleswaran, Amy Mokhzani Mohamad.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan