WILAYAH - UTARA > BERITA

RM1.6 JUTA DIPERUNTUKKAN DI BAWAH PROJEK PEMBANGUNAN KOMUNITI YAPEIM SEJAK 2023

28/04/2025 12:23 AM

KANGAR, 27 April (Bernama) -- Sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukkan di bawah Projek Pembangunan Komuniti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) (PPKY) di seluruh negara sejak program itu dimulakan pada 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata hingga kini, program itu memberikan manfaat kepada ribuan masyarakat termasuk keluarga miskin, pelajar, usahawan asnaf dan anak yatim.

“Program ini menyantuni masyarakat secara holistik melalui pelaksanaan aktiviti ekonomi dan keusahawanan, selain bantuan pendidikan dan kemasyarakatan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan dan merasmikan program YAPEIM di Masjid Al-Ghufran di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata sebanyak 12 lokasi PPKY telah pun dilaksanakan di seluruh negara setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata YAPEIM menyalurkan RM196,500 menerusi tiga program iaitu PPKY, Aidilfitri MADANI YAPEIM dan Program Sinar Lestari YAPEIM di Perlis menerusi majlis perasmian program YAPEIM itu hari ini.

"Bagi PPKY di Perlis, bantuan keseluruhan RM60,000 meliputi sumbangan kepada Masjid Al-Ghufran, bantuan kewangan keluarga dan makanan kepada 160 penerima, bantuan pendidikan kepada 200 penerima serta lain-lain sumbangan kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata bagi program Aidilfitri MADANI YAPEIM, sumbangan keseluruhan berjumlah RM46,500 manakala bagi Program Sinar Lestari YAPEIM pula sebanyak RM90,000 disalurkan melalui kerjasama strategik dengan Pejabat Pembangunan Negeri Perlis (ICU JPM) untuk membantu baik pulih premis perniagaan.

Dalam pada itu, katanya sejak 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara melalui teras pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan kemasyarakatan.

" YAPEIM juga mengendalikan perkhidmatan pembiayaan mikro Ar-Rahnu YAPEIM dengan 203 cawangan di seluruh negara, yang telah memberikan pembiayaan berjumlah RM17.5 bilion kepada hampir sejuta penggadai sejak 2000 hingga Mac 2025," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan