WILAYAH - UTARA > BERITA

LHDN KEDAH SEDIA TURUN PADANG BANTU PKS FAHAM E-INVOIS

29/04/2025 11:44 PM

ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah sedia ‘turun padang’ untuk melatih dan mengadakan simulasi khusus kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar mereka memahami sistem e-Invois yang akan berkuat kuasa pada Januari 2026.

Pengarah LHDN Kedah Nor Azam Mohamad berkata sebanyak 23,712 syarikat di negeri ini dikehendaki untuk mendaftar dengan sistem tersebut dan pendaftaran dijangka meningkat menghampiri tarikh kuat kuasa.

"Sesetengah majikan atau syarikat juga meminta kami ke premis mereka untuk memberi latihan dan bimbingan secara lebih dekat dan praktikal kepada kakitangan mereka yang menguruskan invois dan kita sedia berbuat demikian, jika dipanggil.

"Jika kita lihat di seluruh negara pun, terdapat peningkatan yang ketara dalam setiap fasa pelaksanaan dengan pelbagai program, taklimat, kempen dan aktiviti kepada majikan dan pembayar cukai yang diadakan,” kepada pemberita selepas Program Jelajah Mega e-Invois peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Katanya sejak 2024 hingga Mac lepas sebanyak 11 taklimat  e-Invois diadakan yang melibatkan seramai 784 peserta manakala 20 taklimat secara bersemuka diadakan dengan penyertaan seramai 1,694 peserta dan beliau berharap aktiviti seumpama itu berterusan.

"E-Invois ini bukan sekadar mematuhi sistem baharu tetapi yang lebih penting, kita membantu perniagaan dan pembayar cukai. Dengan e-Invois, pelaporan cukai menjadi lebih mudah kerana setiap transaksi disokong dengan dokumentasi yang lengkap," katanya.

Bermula 1 Jan 2026, LHDN akan memberikan tumpuan ke arah penguatkuasaan dan pemantauan penuh terhadap sistem itu.

Pada Februari lepas, kerajaan menangguhkan fasa ketiga e-Invois untuk PKS dengan jualan tahunan antara RM150,000 dan RM500,000 hingga 1 Jan tahun depan.

E-Invois diperkenalkan pada 1 Ogos 2024 bagi syarikat yang mempunyai jualan melebihi RM100 juta, diikuti fasa dua pada 1 Jan lepas, bagi syarikat antara RM25 juta dan RM100 juta.

Bagaimanapun, perniagaan dengan jualan tahunan di bawah RM150,000 dikecualikan, yang akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 peniaga kecil di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan