WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAKYAT AUSTRALIA KELUAR MENGUNDI DI TENGAH KESUKARAN EKONOMI, KETIDAKPASTIAN DASAR LUAR

03/05/2025 10:36 AM

ANKARA, 3 Mei (Bernama-Anadolu) -- Rakyat Australia mula mengundi pada Sabtu dalam pilihan raya persekutuan yang dibayangi kebimbangan ekonomi yang semakin mendalam, peralihan geopolitik global serta kekecewaan pengundi terhadap dua parti utama negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Lebih 18 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing di bawah sistem pengundian wajib negara itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Australia memaklumkan bahawa seramai 4.8 juta pengundi telah mengundi awal setakat Khamis.

Parti Buruh yang diketuai Perdana Menteri Anthony Albanese kini berusaha mempertahankan penggal kedua selepas memperoleh majoriti tipis pada 2022.

Pesaing utama ialah Gabungan Liberal-Nasional yang kini diketuai oleh Peter Dutton.

Jika kedua-dua blok tidak memperoleh sekurang-kurangnya 76 kerusi daripada 150 kerusi di Dewan Perwakilan, Australia mungkin sekali lagi menyaksikan pembentukan kerajaan minoriti, seperti yang berlaku pada 2010.

Separuh daripada 76 kerusi Senat turut dipertandingkan.

Isu ekonomi menjadi tumpuan utama sepanjang kempen, dengan inflasi, peningkatan kos sara hidup dan kemampuan perumahan mendominasi perdebatan.

Penganalisis politik Nathan Fioritti menyatakan bahawa kedua-dua parti utama bergelut untuk menawarkan penyelesaian yang kukuh.

“Sokongan mungkin beralih kepada parti-parti kecil seperti Greens yang mencadangkan dasar lebih bersifat transformasi,” katanya seperti dipetik Anadolu.

Fioritti meramalkan corak pengundian akan menyamai pilihan raya 2022, apabila Parti Buruh dan gabungan pembangkang masing-masing memperoleh kira-kira 30 peratus undi.

“Terdapat kekecewaan yang semakin memuncak terhadap status quo politik,” katanya.

Walaupun isu domestik lebih dominan, kebimbangan antarabangsa turut mempengaruhi sentimen pengundi.

Penggal kedua Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah membawa ketidakpastian dalam hal ehwal global, mendorong pengundi untuk menilai parti mana yang lebih layak mengurus hubungan Australia-AS.

Namun, pakar percaya faktor Trump  kekal sebagai kebimbangan sampingan berbanding isu ekonomi.

“Bayangan Trump ada, tetapi bukan isu utama,” kata Charles Miller dari Australian National University.

Mengenai hubungan luar, kedua-dua parti utama dijangka mengekalkan penjajaran strategik Australia dengan Amerika Syarikat sambil berurusan secara berhati-hati dengan China dalam hal perdagangan.

Sementara itu, mengundi adalah satu kewajipan di Australia dengan kegagalan mengundi boleh dikenakan denda A$20 (US$13).

Sejak diperkenalkan pada 1924, kadar keluar mengundi sentiasa melebihi 90 peratus, menjadikan Australia antara negara dengan penyertaan demokrasi tertinggi di dunia.

Pusat mengundi ditutup pada 6 petang waktu tempatan.

Kertas undi akan dikira sejurus selepas tamat pengundian, namun keputusan mungkin tidak diumumkan pada malam pilihan raya, terutama jika pertandingan sengit.

Undi pos akan dikira dalam beberapa hari berikutnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan