MELAKA, 5 Mei (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi sekumpulan penyelidik berjaya membangunkan sistem berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar bagi penternakan ikan di Asia Tenggara.
Ketua penyelidik Dr Nor Fariza Ab Wahab berkata projek Sistem Penapisan Tanpa Penukaran Air Menggunakan Teknologi Internet Kebendaan (IoT) itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi dan penggunaan air, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
"Sistem yang dilengkapi dengan teknologi canggih ini memberikan impak besar kepada alam semula jadi dalam memastikan keseimbangan ekologi dan meningkatkan hasil akuakultur di rantau Asia Tenggara.
“Sistem ini dicipta dengan kelengkapan integrasi tinggi bagi menangani masalah pengumpulan ammonia di dalam kolam ternakan yang boleh membahayakan hidupan akuatik … ia memerlukan pertukaran air yang kerap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Fariza berkata sistem dan teknologi itu diperlukan umum kerana ia berkeupayaan tinggi membolehkan pemantauan kualiti air secara masa nyata dan meningkatkan produktiviti penternakan ikan.
Beliau berkata bagi memastikan keberhasilan projek yang dibangunkan dalam tempoh lima bulan itu, penyelidik turut berdepan dengan kepelbagaian faktor persekitaran, seperti aliran air dan suhu di dalam kolam ternakan ikan.
“Inisiatif ini juga disokong oleh kerajaan Jepun, dan setiap pemenang yang menerima geran perlu menzahirkan kepakaran dimiliki untuk membangunkan projek inovatif dalam sektor ekonomi biru.
"Dana bagi projek inovasi yang dijalankan di kolam ikan di Sungai Buloh, Masjid Tanah ini dibiayai menerusi geran berjumlah USD38,000 yang dimenangi pada ASEAN Blue Innovation Challenge (ABIC) daripada UNDP (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Indonesia," katanya.
Kumpulan penyelidik UTeM adalah antara kumpulan penyelidik berkaliber daripada 1,341 penyertaan dalam kalangan 10 negara Asia Tenggara menerusi projek bertajuk Sustainable Development of Zero-Exchange System Using Bio-DHS Filter Integrated with IoT Technology for Fish Farming.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata penyelidikan inovasi UTeM terus rancak dalam semarak persekitaran budaya penyelidikan inovasi universiti yang terus berkembang.
Katanya, penyelidik UTeM terus bergiat aktif menzahirkan kepakaran dimiliki dalam menyerlahkan inovasi bagi menyumbang kembali kepada kemaslahatan komuniti yang bukan hanya bersifat tempatan, tetapi juga merentas sempadan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial