SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2025 Sabah (PMR) yang bakal diadakan di Tawau selama tiga hari bermula Jumaat ini diharap dapat menjadi wadah penting dalam merealisasi agenda perpaduan dan memperkukuh keharmonian nasional.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata perpaduan itu mampu direalisasi apabila rakyat boleh berdisiplin, termasuk saling menghormati pelbagai bangsa dan agama dalam komuniti Malaysia yang berbilang latar belakang.
"Harapan saya program itu akan dapat memupuk keharmonian dan menyatukan rakyat melalui penyertaan komuniti berbilang kaum.
"Kita menjadi masyarakat bertamadun, membangun Malaysia MADANI, nilai-nilai MADANI itu sebenarnya mulia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Arkib@Sekolah: Bermulanya Di Sini di Sekolah Menengah St Mary di sini hari ini.
Antara perkhidmatan ditawarkan di reruai Kementerian Perpaduan Negara pada program itu nanti, termasuk pameran berteraskan perpaduan dalam kepelbagaian, pencapaian dan dasar kementerian serta pameran destar kesultanan tanah Melayu.
Aktiviti lain yang diadakan di bawah agenda perpaduan, termasuk pertandingan busana tradisional kanak-kanak Tabika Perpaduan, persembahan kebudayaan Persatuan Etnik Tawau serta aktiviti jom cuba makanan tradisional pelbagai kaum
PMR 2025 Sabah dijadual berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai kementerian peneraju dan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) serta kerajaan Sabah selaku tuan rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial