KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia Airlines mengubah laluan dua penerbangannya iaitu MH2 dan MH22 berikutan penutupan ruang udara Pakistan pada 6 Mei 2025.
Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) berkata dua penerbangan Malaysia Airlines itu berhenti sebentar bagi mengisi bahan api di Doha, Qatar sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing iaitu London Heathrow (United Kingdom) dan Paris Charles de Gaulle (Perancis).
Tindakan ini dibuat selepas kedua-dua penerbangan berkenaan diubah laluannya susulan penutupan ruang udara.
MAG berkata semua penerbangan Malaysia Airlines ke dan dari Amritsar (India) ditangguh sehingga 9 Mei kerana Lapangan Terbang Amritsar akan ditutup dari 7 hingga 9 Mei berikutan keadaan keselamatan dan operasi yang berubah.
"Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi kami. Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan akan terus mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai," kata MAG dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Batik Air membatalkan penerbangan ke dan dari Lahore (Pakistan) dan Amritsar pada 7 dan 8 Mei berikutan situasi serantau yang sedang bergolak.
"Laluan yang terjejas termasuk Kuala Lumpur–Lahore (berlepas pada 5.35 petang) dan Lahore-Kuala Lumpur (berlepas pada 9.35 malam) pada kedua-dua hari serta Kuala Lumpur-Amritsar (berlepas pada 6.40 petang) dan Amritsar-Kuala Lumpur (berlepas pada 11.05 malam) pada 7 Mei," kata Batik Air.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia pula berkata ia sedang memantau situasi itu serta akan mengikuti semua protokol keselamatan yang diperlukan selain menekankan keselamatan penumpang dan anak kapal yang merupakan keutamaan tertinggi mereka.
"Operasi kami berjalan seperti biasa dengan sedikit penyesuaian termasuk mengubah laluan beberapa penerbangan untuk mengelakkan ruang udara yang terjejas dan memastikan keselamatan, selaras dengan panduan daripada pihak berkuasa yang berkaitan," kata syarikat penerbangan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial