WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRESIDEN XI PUAS HATI, GEMBIRA DENGAN LAWATAN NEGARA KE MALAYSIA

07/05/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping berpuas hati dan menzahirkan rasa gembira terhadap lawatan negaranya ke Malaysia bulan lepas.

Beliau turut menyifatkan lawatannya itu sebagai amat berjaya, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Mohamad, maklum balas itu disampaikan kepada beliau oleh Kementerian Luar China baru-baru ini.

“Tahniah kepada semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. 

Lawatan negara tiga hari Xi atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bulan lepas  menandakan kunjungan rasmi kedua pemimpin Negara Tembok Besar itu ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Selain diberikan sambutan negara di Istana Negara, Xi turut diraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. 

Lawatan itu menyaksikan pertukaran 31 dokumen termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman bagi memperkukuh kerjasama, sekali gus menandakan lembaran baharu hubungan dua hala antara kedua-dua negara. 

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Mesyuarat Kabinet hari ini turut mendengar cadangan supaya satu bangunan persidangan bertaraf antarabangsa diwujudkan di Bandar Malaysia, di sini.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan kerana Malaysia mungkin terlibat dalam pelbagai penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang dan bangunan KLCC sudah lama dan perlu difikir kesesuaian dari segi keselamatan. 

Malaysia turut membida untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Komanwel, katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan