WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BOMBA SELAMATKAN 18 MANGSA TERPERANGKAP KEJADIAN KEPALA AIR DI HULU LANGAT

11/05/2025 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sebanyak 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak menghadapi detik cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat, Selangor, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu, pada 5.09 petang.

Beliau berkata sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dengan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Komander Operasi melaporkan terdapat 18 mangsa terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak terkandas akibat kepala air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 6.32 petang.

Bagaimanapun, beliau berkata seorang wanita berumur dalam lingkungan 30-an mengalami sesak nafas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan.

 

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian kepala air di Alang Sedayu, Batu 12, Jalan Gombak Lama dekat ini, empat mangsa berjaya diselamatkan orang awam.

Ahmad Mukhlis berkata enam pegawai dan anggota daripada BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang, sebelum menyelamatkan tiga lagi mangsa terkandas akibat kejadian itu.

“Keseluruhan tujuh mangsa berumur 15 hingga 31 tahun dibawa ke tempat selamat,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata seorang daripada mangsa yang berumur 29 tahun, mengalami kecederaan patah kaki.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan